Kenali i-KUPS

Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu yang lebih dikenali sebagai SBPIKP atau i-KUPS merupakan salah sebuah sekolah berasrama penuh yang menggariskan misi untuk melahirkan pelajar yang berkepimpinan tinggi dan mempunyai sahsiah yang baik. Sistem pendidikannya berkualiti dan mengutamakan kecemerlangan akademik pelajar yang selaras dengan perkembangan kokurikulum. Justeru, sistem pengambilan pelajar lepasan UPSR dan PMR lebih tertumpu kepada pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.

Integrasi ialah gabungan pelbagai aliran di peringkat menengah atas. Ini bererti di tingkatan empat dan lima, pelajar akan ditempatkan sama ada di kelas beraliran Sains Tulen, Sains Teknikal atau Sains Tulen Agama. Sementara di tingkatan 1 hingga 3, pelajar diwajibkan mengambil 10 mata pelajaran termasuk Bahasa Arab dan Bahasa Antarabangsa seperti Bahasa Perancis, Bahasa Jepun dan Bahasa Mandarin.